Thursday 10 October 2013

PERJUANGAN PERLU TERUS

Tersergam di celah metropolitan, sebuah tanda cinta bergemerlapan lahirlah sebuah impian dunia makin pelik dan jelik tapi di sini ada muara buat jiwa-jiwa yang memerlukan berteduh dan mencari perlindunga, mengubat hati-hati lara dan hati-hati nan cedera puisi ini untuk kita dan mereka, sebuah kisah perjuangan dan harapan nun jauh di horizon sang suria megah bersinar, ramai menyangka hari akan sentiasa indah namun ada awan hitam berlagak nakal di balik langit cerah sudah takdir kadang-kadang dalam sekejap senyum tawa bertukar menjadi tangis hiba datanglah! dan berdoalah! selagi ada tangan-tangan mulia tekal bersengkang mata mengembalikan senyuman yang pernah sirna sedangkan pada senyum itu ada kasih seorang ibu setia seorang bapa cinta sepasang kekasih dan manja seorang anak semua itu cukup menjadi asbab perjuangan perlu terus lantaran nyawa masih dikandung badan, janji langsung di luh mahfuz wajib didukung pernah juga.. kita tersadung kita menangis kita bersedih bukankah jatuh lumrah bagi yang berani melangkah? dari itu siapkan barisan kita yang paling ampuh kita rempuh awan hitam biar luluh lagak nakalnya masa depan tersiar yakin, ayuh kita derapkan bersama hidup megah! INSTITUT JANTUNG NEGARA

awan biru

Terang langit malam ini. Hazwan memandang kosong ke arah bintang bergugusan, masih lagi berharap. Sudah satu jam dia menunggu di tingkap wadnya. Matanya yang berkaca penuh dengan harapan. Ada doa yang dipanjatkan bersama harapan tersebut. Malam ini mungkin yang terakhir. Kadang-kadang dibetulakan bantal yang dijadikan sandaran. Kadang-kadang di bertongkat dagu. Manan melihat saja gelagat Hazwan. Perasaannya berbelah bahagi antara kelakar dan simpati. Kanak-kanak memang dijadikan tuhan, tidak sabar. Jika mahu sesuatu, segera mahu ada di depan mata. Sudah puas diterangkan bahawa apa yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi itu pasti akan terjadi namun Hazwan tetap tak senang duduk, menanti. Bagaimanapun ada kerisauan menari di hati Manan. "Bagaimana jika ramalan itu meleset?" "Apa yang patut dikatakan jika harapan Hazwan hancur pada malam ini?" Manan memejam mata lantas memanjat doa, jauh di sudut hatinya. Tiba-tiba secoret cahaya kelihatan, disusuli pula dengan beberapa coret lagi tidak lama kemudian. Hazwan tersenyum riang. Raut wajahnya yang muram segera bertukar gembira. Dia berpaling memeluk Manan yang kelihatan lega. “Ayah, betul TV3 cakap! Awan nampak!” Pancuran meteor Perseid. Satu fenomena alam yang sangat jarang berlaku kini terpampang indah di hadapan Hazwan. Pancuran meteor ini berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi. Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer. Hazwan tidak mungkin memahami sains di sebalik kejadian Allah ini, tapi hanya melihat keindahan pancuran tersebut sudah cukup membuatkan dia gembira. “Itulah tahi bintang, Awan.” Manan mengukir senyuman penuh kasih sayang. Laila, isteri Manan berada di sebelah. “Bintang pun buang air besarkah ayah?” Manan dan Laila ketawa besar. ”Taklah Awan. Itu bahasa orang kampung. Ayah juga tak tahu apa bahasa bandarnya.” “Hi! Selamat malam.” Seorang lelaki menjenguk dari luar wad. “Eh, Dr. Chandran. Masuklah.” Manna mempelawa Dr. Chandran duduk di kerusinya namun ditolak sopan oleh Dr. Chandran. Dia lebih suka berdiri. Dr. Chandran melangkah masuk ke katil Hazwan. Berbadan sederhana, agak gempal dan berwajah comel menjadikan Dr. Chandran agak popular di Institut Jantung Negara, dan juga di kalangan pesakit kanak-kanak. Dia merupakan pakar kardiologi kanak-kanak di hospital ini, mempunyai pengalaman selama 7 tahun dalam menangani masalah jantung paediatrik. Pengalamannya dalam bidang ini bukan saja mengajar Dr Chandran merawat penyakit jantung tapi juga bagaimana melayan kerenah kanak-kanak. “Awan, tengok apa doktor bawa?” Dr Chandran menghulurkan sekeping coklat kepada Hazwan “Coklat! Terima kasih doktor.” Hazwan mengambil coklat di tangan Dr Chandran sambil tersenyum. Dr. Chandran mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan Hazwan. Hazwan merupakan pesakit pertama Dr. Chandran. Tujuh tahun sudah berlalu sejak pertama kali Hazwan dibawa ke Institut Jantung Negara. Dia disahkan menghidap satu penyakit jantung kongenital iaitu truncus arteriosus. Jantung normal mempunyai dua pembuluh darah utama di setiap kiri dan kanan jantung, masing-masing berfungsi mengepam darah ke seluruh badan dan ke paru-paru. Bagi pesakit truncus, hanya ada satu pembuluh darah utama, mengepam darah ke seluruh badan dan ke paru-paru. Keadaan kompleks ini akan menyebabkan bayi kelihatan kebiruan apabila dilahirkan kerana kekurangan bekalan oksigen. Itulah yang terjadi kepada Hazwan saat dilahirkan. Doktor yang menyambut kelahirannya mengesyaki terdapat masalah pada jantung Hazwan kerana Hazwan kelihatan kebiruan, lalu dia dihantar ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut. Pada waktu itu, Dr Chandran baru 3 bulan melakukan tugas sebagai doktor jantung kanak-kanak. Namun, sehingga waktu itu dia masih tidak diberi kepercayaan untuk merawat mana-mana pesakit lantaran Dr. Chandran menghadapi masalah memahami pelajaran yang diberikan. Tugas sebagai doktor amat berat untuk dipikul kerana ini bukanlah cita-cita asal Dr. Chandran. Sebenarnya, dia memasang angan-angan untuk menjadi juruterbang, tapi ibu bapanya menghalang impian itu kerana sudah ada 2 juruterbang dalam keluarga, ayah dan abangnya. Akhirnya, dia terpaksa akur dengan pujuk rayu orang tua dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Dia memilih kerjaya sebagai doktor kanak-kanak kerana menyangka pertaliannya dengan kanak-kanak akan memudahkan jalan untuk meminati pekerjaan ini. Namun, sangkaannya meleset. Terlalu banyak yang mesti dipelajari. Terlalu banyak yang perlu dihafal. Terlalu banyak desakan dan tekanan. Sebenarnya, Dr. Chandran telah mengambil keputusan nekad untuk berhenti dari pekerjaan ini. Bulan ini akan menjadi bulan terakhirnya. Dia sudah penat berusaha. Kini, dia akan kembali mengejar cita-citanya yang sudah lama ditangguhkan. Ke awan biru… “Chandran, datang ke sini sekejap.” Teguran Dr Hayati membuatkan lamunan Dr Chandran tersentak. Perlahan-lahan dia menuju ke meja Dr. Hayati. “Awak buat ‘echo’ untuk pesakit Hazwan ni. Saya nak ke Cath Lab sekejap. When I come back, I want the diagnosis.” Tiba-tiba dada Dr Chandran berdegup kencang. Dia tidak pernah membuat ekokardiogram ke atas mana-mana pesakit. Sehingga hari ini, dia akan mengelakkan diri dari situasi sebegini. Pelbagai alasan akan direkanya. Tandas. Panggilan dari ibu. Lapar. Tapi hari ini dia tidak dapat lari lagi. Dr. Hayati adalah seorang konsultan yang sangat tegas. Memandang muka beliau pun dia takut, inikan pula untuk menolak arahan. Lagipun, Dr. Hayati sudah hilang dari pandangan. Sudah terlambat….Diagnosis! Dr. Chandran memegang prob mesin ‘echo’ di hadapannya. Ditatap monitor mesin sejenak. Degupan semakin kencang. Diagnosis! Kemudian, dia mengalihkan pandangan kepada pesakitnya yang terlantar di atas katil. Tiba-tiba satu perasaan simpati menyelubungi Dr. Chandran. Wajah sakit anak ini dipandang sayu. “Kalau bukan aku, siapa lagi?” Ujar Dr. Chandran dalam hati. Seiring dengan itu, tangannya yang memegang prob memulakan imbasan. Satu demi satu imej diperhatikan. Tiada perincian yang ditinggalkan. Segala ilmu yang ditimba selama ini digunakan untuk membantu dalam diagnosis. Perasaan gusar yang tadi menguasainya beransur-ansur hilang. Kini, yang tinggal adalah keyakinan seorang doktor. Setengah jam kemudian, Dr. Hayati kembali. Melihat wajah tegas Dr. Hayati, Dr. Chandran kembali kaget. “So Chandran. Diagnosis?” “Errrrrrr.... Truncus arteriosus, bos” “Awak yakin Chandran? You know you could also kill the patient with your diagnosis, don’t you? ” “100% bos. Truncus” Dr. Hayati memerhatikan imej-imej yang diambil Dr. Chandran. “Hmmmm...not bad Chandran. Ini kali pertama awak pegang prob tapi awak sudah boleh ambil imej dan sudah boleh buat diagnosis. Terbaik!” “Terima kasih bos.” Dipandang wajah Hazwan. Kemudian, hatinya berbisik gembira “Terima kasih boy!Go team!” “Awak senyum apa Chandran? Belum habis lagi. Saya serahkan pesakit ini under your care. Saya akan pantau cara awak uruskan dia dari hari pertama hingga dia keluar IJN. Alive!!” “Apa?!” Spontan kata itu terhambur dari mulut Dr. Chandran. Dia segera menekap mulutnya sendiri. “Kenapa Chandran?” “Tak ada apa-apa bos. I will try my best” Dr. Chandran merasakan itulah ayat paling tak ikhlas pernah diucapkan. Dia memerhatikan Dr. Hayati berlalu dengan wajah masam mencuka. Sekali lagi dipandang wajah anak kecil di atas katil. Kemudian, dipandang pula wajah ibu bapa budak tersebut. Perasaan simpati dan empati mengetuk-ngetuk pintu hati Dr. Chandran. Dia faham benar perasaan kedua-dua ibu bapa Hazwan. Tanpa disedari, perasaan sayang kepada empunya tubuh kecil itu semakin menebal. Dr. Chandran menggenggam stetoskopnya. Satu azam baru tumbuh mekar di hatinya. Apa pun keadaan, dia akan pastikan pesakit pertamanya keluar dari IJN dengan senyuman. Ini kata putus seorang anak jantan. Tiada siapa yang tahu bahawa pertautan hati dua insan istimewa ini bakal mencorak sebuah masa depan yang gemilang... ******************** “Awan dah sedia untuk esok?” Dr. Chandran mencubit manja pipi Hazwan. Kisah tujuh tahun lalu tersemat abadi di hatinya. Ternyata kepercayaan Dr. Hayati kepadanya dibalas sebaik mungkin. Hazwan berjaya menjalani pembedahan pertama membaiki truncus arteriosus dan Hazwan telah menjalani kehidupan yang normal sejak itu. Kini, disebabkan peningkatan usia, Hazwan perlu menjalani pembedahan seterusnya bagi membolehkan dia meneruskan kehidupannya. “Awan kuat! Awan belajar taekwondo! Awan memang selalu sedia!” Semangat Hazwan meluap-luap. Dia pelajar cemerlang di sekolah. Seorang ketua pengawas. Pencapaian pelajarannya meletakkan Hazwan sebagai salah seorang pelajar sasaran untuk mendapat 5A. Kegiatan kokurikulumnya juga membuktikan pembedahan tujuh tahun lalu adalah keputusan terbaik untuk Hazwan. Oleh kerana pembedahan itu juga Dr. Chandran telah membuat pusingan U dalam hidupnya, dan dia tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Dia masih mengingati saat dia mengoyak surat perletakan jawatan di hadapan ketua jabatannya. Seorang doktor pelatih di bawah seliaan Dr. Chandran pernah bertanya kepadanya. “Dr. Chandran, saya nak tanya doktor. Apa rahsia doktor dalam memahami pesakit-pesakit doktor? Saya suka tengok doktor layan pesakit-pesakit.” Dr. Chandran tersenyum seraya memegang dadanya. “Awak kena jadi pesakit lah.” “Serius? Doktor pernah ada penyakit jantungkah?” “VSD. Dulu saya pesakit IJN” Dr. Chandran berlalu pergi sambil tersenyum, meninggalkan doktor pelatih itu, terlopong. ******************** Dr. Chandran bergegas ke mejanya. Atas meja tersebut terpapar sebuah plat tertulis namanya dan jawatan yang sudah digalas selama lima tahun. “Chief Executive Officer, IJN.” Dr. Chandran menerima panggilan awal pagi tadi dari seorang kawan yang sudah agak lama tak diketemu, menyuruhnya membaca suratkhabar hari ini. AMERIKA SYARIKAT, 26 September 2033: Satu sejarah bakal terukir apabila sekumpulan angkasawan akan menjalankan ekspedisi pertama menjelajah planet Marikh. Ekspedisi yang amat mencabar ini akan dipimpin oleh ketua angkasawan, Prof Ir. Hazwan Bin Manan berasal dari Malaysia. Kapal angkasa yang akan membawa mereka akan dinamakan....AWAN BIRU. Dr. Chandran menarik nafas bangga. Air mata yang bergenang dibiarkan mengalir.

Friday 20 September 2013

rapat umum

Mlm ini bulan suram.. Dekah selama ini riuh memenuh rumah kini kurasa terlalu lama sudah berlalu Hati yang berbolak-balik sebegini alangkah baik jika rasa itu selalu menemani.. Dan bulan yang sememang suram kini pula makin tenggelam.. kecelakaan apa lagi di depan?Hati sudah tahu bila janji dilangsung, yang hidup pasti terlalu sunyi..semuanya perlu ditempuh sendiri. Kegagalan pasti tersulam antara kejayaan..duka dan suka lumrah perjalanan. Namun hati masih bertanya kenapa jalan ini terlalu sukar.. Puncak kedewasaan rupanya begini…jika ku tahu awal- awal tidak kupinta usia bertambah.. ingin selalu jadi budak, terlepas beban syariat tak perlu menanggung dan menjawab.. menanggung dan menjawab…menjangkau tiga dekad.. hanya tanggungan.. tanggungan yg sentiasa menghulur persoalan..persoalan yg masih kucari jawapan.. kelak..apa jawapan utk sang penghunus soalan..mata mula bergenang..satu lagi persoalan..bolehkah airmata menjadi jawapan?? Masalah ini bukan masalh aku..aku pasti ia juga masalah kamu.. Cuma ada antara kamu masih terbuai mimpi lena..tak sedar esok lusa maut menjemput, keadaanmu jauh lebih teruk dariku..kamu berpeleser di kota-kota maksiat, mencari habuan dari tong-tong nafsu..aku teringat Jalan Bukit Bintang..pengemis itu saling tak tumpah dengan kamu.. Dan ada antara kamu buat-buat tahu..terasa megah dengan ilmu secolek, sedangkan ilmu itu sedang memakan harga dirimu..terasa diri sudah baik namun jalan di depanmu masih kabur..gedung-gedung ilmu begitu byk namun takbur iblismu menghijab pintu. Sudahlah…cakap begitu byk bukan ada yg mendengar.. Mlm ini bulan suram..tidur makin menjemput…sayonara

Wednesday 24 April 2013

karut seorang teman..

Percintaan terlalu perit teman Ramai sudah kecundang Awalnya harapan nan satu Membina tangga menuju bahagia Runtuhnya pasti meruntun jiwa Bahagia diimpi semakin jauh Malah tercampak ke lembah hina Beringatlah teman Sabar dan tabah sari rahsia Bagi yang berani bangkit menyahut cabaran takdir Yang galak menghimpit Gagal sekali bukan penamat segala Lantaran mutiara terindah tertanam di jurang lautan terdalam Maka sabarlah dan tabahlah mencari Teman Dunia adalah hiasan palsu nan sementara, Balutannya indah dipalit wangian semerbak bijaksana tak mungkin tertipu dengan luaran sedangkan isinya penuh hinaan dan cacian lihatlah dunia dengan mata hatimu lihatlah bagaimana ia menipu bagaimana ia menjerat memerangkap… kau lebih dari semua ini teman, tempat kau adalah di sana yang terindah, di mana cinta ada pada sungai yang mengalir dan pada khamar yang kau minum, pada ayam yang kau makan pada pepohon yang rendang pada padang yang luas terbentang pada ternakan yang jinak pada bidadari… sabarlah dan tabahlah kerana semua ini bukan sekadar untukmu tapi jua untukku kerana aku juga sepertimu hanyut dengan dunia yang palsu aku mahu bencikan dunia tapi tetap kucintainya aku mahu tinggalkan dunia tapi aku takut aku mahu pinggirkan dunia tapi aku malu aku mahu caci dunia tapi aku bimbang bukankah kau sepertiku? Cinta pasti datang Sebagai ujian atau kemenangan Akalmu menentukan Iman sebagai panduan Nafsumu pembakar semangat Dugaan pasti banyak dan menyeksakan Pasti semua terhapus Bila bahagia berlabuh Untuk selama-lamanya Aturlah langkahmu Derapnya biarlah diiringi seruling kelancaran Agar di tengah jalan tidak tersadung akar kegagalan Atau ditewaskan taufan fitnah Ambillah masa di tikar solatmu Lantaran tiada bantuan sebesar bantuanNya Menyelamatkan di saat kesulitan Suatu masa Apabila kau ketemu mutiara yang kaudamba Jagalah dia Senangkan hatinya Hargailah dia Kerna dialah jawapan untuk setiap doamu Cintanya pasti mengajarmu Tentang kecintaan Maha Utama Cintanya pasti membuka tiap cacat cela dunia Membuka hatimu tentang hari yang kekal Dan keindahannya bagi orang yang sabar. Sabar dan tabahmu berhasil Kepayahan dan tangismu berbalas jua Kerna cintanya kau mengecap bahagia Tiap kata yang diucapkan Tiap lenggok yang dipamerkan Tiap senyum yang dilontarkan Menyenangkan hatimu Kau tidak keseorangan lagi Dari kau dan dia Pasti akan ada penyambung dari keturunan hati yang sabar hati yang tabah Maka bercambahlah hati yang kenal tentang kepalsuan dunia Dan yang pantang tertipu dengannya.. Semuanya Dari seorang pria ganteng Pejuang ketabahan dan kesabaran Tidakkah kau bangga jika sebegitu? Pada suatu masa nan bahagia Kau dengan bangga bercerita Pada anak-anak dan cucu-cucumu Tentang seorang pendekar yang mengembara Mengalahkan naga ganas dari seberang Menjatuhkan Ifrit dari Gunung Simambang Meruntuhkan istana sang raja nan kejam Akhirnya menyelamatkan sang puteri yang didambakan Sedangkan sang puteri dambaanmu berada di sisi tersenyum Dan dongeng itu adalah tentang dirimu jua. Jadi ayuh teman Sama-sama kita bertapak, Nun di hadapan Destinasi masih samar Tapi aku tidak risau Kerana jika aku terjatuh Maka di sisiku Aku tahu Kau akan menyanggaku.