Wednesday, 24 April 2013
karut seorang teman..
Percintaan terlalu perit teman
Ramai sudah kecundang
Awalnya harapan nan satu
Membina tangga menuju bahagia
Runtuhnya pasti meruntun jiwa
Bahagia diimpi semakin jauh
Malah tercampak ke lembah hina
Beringatlah teman
Sabar dan tabah sari rahsia
Bagi yang berani bangkit menyahut cabaran takdir
Yang galak menghimpit
Gagal sekali bukan penamat segala
Lantaran mutiara terindah tertanam di jurang lautan terdalam
Maka sabarlah dan tabahlah mencari
Teman
Dunia adalah hiasan palsu nan sementara,
Balutannya indah
dipalit wangian semerbak
bijaksana tak mungkin tertipu dengan luaran
sedangkan isinya penuh hinaan dan cacian
lihatlah dunia dengan mata hatimu
lihatlah bagaimana ia menipu
bagaimana ia menjerat
memerangkap…
kau lebih dari semua ini teman,
tempat kau adalah di sana yang terindah,
di mana cinta
ada pada sungai yang mengalir
dan pada khamar yang kau minum,
pada ayam yang kau makan
pada pepohon yang rendang
pada padang yang luas terbentang
pada ternakan yang jinak
pada bidadari…
sabarlah dan tabahlah
kerana semua ini bukan sekadar untukmu
tapi jua untukku
kerana aku juga sepertimu
hanyut dengan dunia yang palsu
aku mahu bencikan dunia tapi tetap kucintainya
aku mahu tinggalkan dunia tapi aku takut
aku mahu pinggirkan dunia tapi aku malu
aku mahu caci dunia tapi aku bimbang
bukankah kau sepertiku?
Cinta pasti datang
Sebagai ujian atau kemenangan
Akalmu menentukan
Iman sebagai panduan
Nafsumu pembakar semangat
Dugaan pasti banyak dan menyeksakan
Pasti semua terhapus
Bila bahagia berlabuh
Untuk selama-lamanya
Aturlah langkahmu
Derapnya biarlah diiringi seruling kelancaran
Agar di tengah jalan tidak tersadung akar kegagalan
Atau ditewaskan taufan fitnah
Ambillah masa di tikar solatmu
Lantaran tiada bantuan sebesar bantuanNya
Menyelamatkan di saat kesulitan
Suatu masa
Apabila kau ketemu mutiara yang kaudamba
Jagalah dia
Senangkan hatinya
Hargailah dia
Kerna dialah jawapan untuk setiap doamu
Cintanya pasti mengajarmu
Tentang kecintaan Maha Utama
Cintanya pasti membuka tiap cacat cela dunia
Membuka hatimu tentang hari yang kekal
Dan keindahannya bagi orang yang sabar.
Sabar dan tabahmu berhasil
Kepayahan dan tangismu berbalas jua
Kerna cintanya kau mengecap bahagia
Tiap kata yang diucapkan
Tiap lenggok yang dipamerkan
Tiap senyum yang dilontarkan
Menyenangkan hatimu
Kau tidak keseorangan lagi
Dari kau dan dia
Pasti akan ada penyambung dari keturunan hati yang sabar
hati yang tabah
Maka bercambahlah hati yang kenal tentang kepalsuan dunia
Dan yang pantang tertipu dengannya..
Semuanya
Dari seorang pria ganteng
Pejuang ketabahan dan kesabaran
Tidakkah kau bangga jika sebegitu?
Pada suatu masa nan bahagia
Kau dengan bangga bercerita
Pada anak-anak dan cucu-cucumu
Tentang seorang pendekar yang mengembara
Mengalahkan naga ganas dari seberang
Menjatuhkan Ifrit dari Gunung Simambang
Meruntuhkan istana sang raja nan kejam
Akhirnya menyelamatkan sang puteri yang didambakan
Sedangkan sang puteri dambaanmu berada di sisi tersenyum
Dan dongeng itu adalah tentang dirimu jua.
Jadi ayuh teman
Sama-sama kita bertapak,
Nun di hadapan
Destinasi masih samar
Tapi aku tidak risau
Kerana jika aku terjatuh
Maka di sisiku
Aku tahu
Kau akan menyanggaku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment